MUHAMMAD Nur Haikal Pauzi dirawat di Wad Teratai Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, hari ini. - Foto Faris Zainuldin
KOTA BHARU: "Semasa van yang dipandu hilang kawalan, semua yang berada dalam van menjerit cemas dan suasana menjadi panik sebelum ia terbabas merempuh rumah," kata seorang mangsa, Muhammad Nur Haikal Pauzi, 14 yang cedera selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Telekong, Kuala Krai, kelmarin.
Muhammad Nur Haikal, berkata ketika kejadian, dia sempat terlelap sebelum terus tersedar sebaik menyedari van berpusing sehingga terbabas.
"Selepas merempuh rumah penduduk, keadaan rakan dalam van terus senyap dan beberapa ketika selepas itu saya pengsan.
"Saya hanya sedar ketika menerima rawatan di Hospital Machang. Terdetik dalam hati bagaimana keadaan rakan yang lain," katanya ketika ditemui di Wad Teratai Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, hari ini.
Beliau yang dipindahkan dari Hospital Machang ke HRPZ II tengah malam tadi mengalami patah tangan kiri dan paha kanan namun keadaannya stabil.
Terdahulu, Muhammad Nur Haikal menerima kunjungan daripada Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Abdul Aziz dan isteri, Tunku Nor Hayati Tunku Abdul Rahman Al Haj yang turut memberikan sumbangan daripada Yayasan Noor Al-Syakur.
BH sebelum ini melaporkan tujuh pelajar Tahfiz Al Hashimi maut selepas van dinaiki terbabas kira-kira jam 9.30 pagi.
Van yang dinaiki 12 pelajar itu adalah bagi menghadiri program Tafsir al-Quran di Madinah Ramadan Kota Bharu sebelum mengalami kemalangan.
Lima mangsa termasuk seorang berasal dari Thailand, maut di tempat kejadian manakala dua pelajar meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK).
Lima maut di tempat kejadian iaitu Mohamad Hafiz Aimullah Mustafa, 18; Muhamad Rahman Rozali,17, Nik Shah Jehan Nik Azmi, 16; Nik Ahmed Daniel Nik Ahmed Rithaudeen, 14 dan Sarifuddin Muhammad, 14, (Thailand) manakala Ahmad Farhan Zulkifli, 14, dan Muhammad Hakimi Muhammad Dahalan, 17, meninggal dunia di HKK.
Sumber: BH Online
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.